Refleksi individu (Ahmad Zairun)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan sebagai pembuka kata refleksi tugasan
bagi kursus Jalinan Masyarakat (GIG 1005) saya. Syukur kepada Allah kerana saya masih
diberi peluang untuk menulis sedikit coretan mengenai refleksi dalam fasa perancangan,
semasa dan selepas Program Integrasi Generasi 2019 (INTEGEN19). Pada mulanya, saya
agak takut untuk memegang jawatan sebagai pengarah dalam program ini kerana saya tidak
pernah memegang jawatan yang tinggi sebelum ini dalam program-program yang saya ikuti
sebelum ini. Namun demikian, kepercayaan yang diletakkan oleh rakan-rakan seperjuangan
saya membuatkan saya tekad untuk menyahut cabaran ini dan sanggup untuk menggalas
tanggungjawab sebagai seorang pengarah program.

Dalam fasa perancangan program, saya telah melalui pelbagai cabaran dan halangan
yang wujud dalam usaha untuk menjayakan program ini. Antara cabaran yang wujud ialah
saya terpaksa menukar tempat untuk menjalankan program ini dari Sekolah Bimbingan
Jalinan Kasih di Chow Kit, Kuala Lumpur kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE),
Pelangi Impian di Sepang, Selangor meskipun kertas kerja projek untuk membuat program di
sekolah tersebut telah disiapkan. Hal ini disebabkan oleh terdapat halangan dan konflik yang
mungkin timbul sekiranya kami menjalankan program di sana. Dalam pada itu, kami juga
membuat aktiviiti dengan kanak-kanak gelandangan dan memberi makan kepada golongan
gelandangan di Kawasan Chow Kit sebagai salah satu inisiatif untuk mencukupkan 33 jam
kredit bersama masyarakat yang perlu kami penuhi dalam kursus ini. Saya dan ahli majlis
tertinggi bagi program ini telah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali dengan Persatuan
Kebajikan Usiamas Malaysia dalam usaha untuk mencapai kata sepakat dan rundingan
daripada kedua-dua belah pihak untuk sama-sama menjayakan program ini. Bukan itu sahaja,
mesyuarat bersama rakan-rakan seperjuangan saya juga telah diadakan sebanyak beberapa
kali untuk membuat segala perancangan dan persiapan yang berkaitan dengan program
tersebut. Cabaran untuk membuat sesuatu perundingan dengan pihak dari Usiamas dan rakan- rakan saya sendiri merupakan antara cabaran yang wujud dalam fasa perancangan program
ini. Hal ini demikan kerana sesuatu perundingan yang dibuat untuk memuaskan hati semua
pihak adalah agak sukar dan memerlukan proses pembuatan keputusan yang bernas daripada
saya selaku pengarah program. Meskipun begitu, kerjasama yang diberikan daripada setiap
unit yang wujud seperti unit program dan protokol, unit tajaan dan hubungan luar, unit
publisiti dan multimedia, unit logistik serta unit kebajikan dan keselamatan dapat
memudahkan proses kerja saya untuk mengkoordinasikan segala bentuk perancangan yang
dilakukan. Dalam fasa ini juga, konflik antara ahli dan kesalahfahaman antara unit-unit yang
wujud sudah mula berlaku. Oleh hal yang demikian, saya telah memutuskan untuk melakukan
satu bentuk mini post mortem selepas kami berjaya mengendalikan ‘FSSS Food Festival’
sebagai salah satu langkah yang proaktif bagi menyelesaikan isu atau konflik yang wujud.
Mini post moterm ini sebenarnya bertujuan untuk memahami situasi sebenar yang sedang
berlaku dan setiap ahli saya benarkan untuk mengeluarkan apa sahaja isi hati yang mereka
simpan untuk kita sama-sama duduk berbincang dan cuba untuk menyelesaikan konflik yang
wujud. Penyelesaian konflik pada peringkat ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi
ukhwah diantara kami dan memudahkan kami untuk melakukan kerja-kerja perancangan
secara bersama secara tidak langsung untuk mengurangkan apa sahaja bentuk kelemahan
yang wujud pada ketika itu.

Dalam fasa semasa menjalankan program pula, saya berasa agak sedikit tertekan dan
berusaha dengan sebaik mungkin untuk menyelesaikan apa jua permasalahan serta cabaran
yang wujud semasa mengendalikan program tersebut. Namun demikian, saya berasa amat
berbesar hati dan sangat bersyukur kerana Timbalan Pengarah program, saudari Hamimi
Amirah telah banyak membantu saya untuk mengendalikan program tersebut terutama
apabila berlakunya situasi-situasi yang agak tegang. Sebagai contoh, masalah penginapan
akibat kesalahfahaman yang berlaku di kalangan sukarelawan-sukarelawan daripada pihak
Usiamas membuatkan situasi agak tegang pada ketika itu. Namun demikian, saya dan
Timbalan Penagrah program telah berjaya menyelesaikan kesalahfaham yang berlaku dengan
memberi penjelasan dan membuat proses rundingan dengan pihak mereka. Cabaran lain yang
saya hadapi semasa mengendalikan program adalah cabaran dari segi situasi untuk
mengendalikan protokal program di mana senarai tetamu penting yang akan hadir bagi majlis
penutupan INTEGEN19 diberikan pada saat-saat akhir program selain terdapat beberapa
senarai tetamu yang berubah pada saat-saat akhir. Pada pandangan saya, protokol program
adalah amat penting. Dalam mengendalikan situasi tersebut, saya telah meminta pengacara
majlis dan rakan-rakan lain yang terlibat serta mempunyai tugas khas semasa majlis
penutupan itu untuk sentiasa bersedia menerima perubahan yang bakal wujud. Dalam erti kata
lain, saya telah meminta mereka untuk sentiasa bersikap fleksibel dan cuba bertenang tentang
apa sahaja perubahan yang wujud. Meskipun begitu, saya juga berasa seronok, simpati dan
teruja sepanjang program ini dijalankan. Sebagai contoh, semasa kami mengadakan aktiviti
dengan kanak-kanak gelandangan di Chow Kit dan membuat khidmat bantu di rumah serta
ziarah prihatin ke rumah-rumah warga emas di Kampung Hulu ChuChoh, Kampung Bukit
Bangkong dan Kampung Sungai Pelek. Saya berasa amat seronok dan teruja semasa
melakukan aktiviti dengan kanak-kanak tersebut di mana keterujaan saya itu membuatkan
saya mampu untuk sama-sama mengadaptasikan diri dengan keadan persekiataran mereka.
Sebagai contoh, saya berasa seronok kerana berpeluang untuk mengajar mereka cara-cara
untuk mencuci tangan dengan betul kerana kanak-kanak di sana tidak begitu didedahkan
dengan aspek kebersihan dalam kehidupan seharian mereka. Namun demkian saya juga
berasa agak sedih dengan keadaan warga emas semasa kami datang melawat ke rumah-rumah
mereka. Keadaan mereka yang uzur itu membuatkan saya berasa sebak dan prihatin dengan
keadaan mereka lebih-lebih lagi bagi warga emas yang hidup hampir berseorangan di dalam
rumah mereka pada setiap hari. Keadaan yang sama saya rasai semasa membuat aktiviti
dengan memberi makanan kepada golongan gelandangan di Chow Kit. Nasib dan keadaan
hidup mereka yang sangat daif membuatkan saya berasa agak simpati dengan keadaan hidup
mereka yang terpaksa merempat di tepi-tepi jalan akibat ketiadaan tempat tinggal. Hal ini
juga membuatkan saya berasa amat bersyukur kerana tidak dilahirkan dalam keluarga yang
sedemikian rupa di mana mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup.

Seterusnya, dalam fasa selepas program ini tamat. Saya berasa amat bahagia dan
berbangga kerana kami pelajar tahap awal dari Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial,
Universiti Malaya telah berhasil dalam menjayakan program INTEGEN19 ini. Saya selaku
pengarah program ini, berasa amat bangga dengan rakan-rakan seperjuangan saya kerana
kami mampu untuk berkolaborasi dengan satu badan bukan kerajaan iaitu Persatuan
Kebajikan Usiamas Malaysia untuk menjayakan program ini. Bukan itu sahaja, saya juga
berasa amat lega dan gembira kerana segala kerja keras saya dan ahli kumpulan yang lain
selama hampir 3 bulan ternyata membuahkan hasil dan mencapai matlamat utama program
yang cuba untuk disampaikan.

Sebagai kesimpulannya, program INTEGEN19 ini sememangnya telah banyak
mengajar saya bagaimana untuk mengendalikan sesuatu program dengan baik. Saya dapati
bahawa kemahiran interpersonal seperti kemahiran berunding, kemhiran mengarah,
kemahiran berkomunikasi, semangat kerja berpasukan, pemikiran kritikal, fleksibeliti,
pengurusan masa yang baik, akauntabiliti serta keyakinan diri amatlah penting untuk
diterapkan dan dikuasai untuk dapat mengendalikan program ini dengan baik. Kesedaran
yang paling penting ialah program ini dapat memberikan suatu impak yang positif terhadap
diri saya sebagai salah satu proses pembelajaran sebagai seorang mahasiswa. Akhir kata, saya
berharap agar program yang berbentuk memberi khidmat dengan melibatkan diri kepada
masyarakat seperti ini akan sentiasa diteruskan pada masa akan datang untuk menerapkan
konsep-konsep sukarelawan dalam diri mahasiswa dan mahasiswi secara tidak langsung dapat
mewujudkan masyarakat yang prihatin dan penyayang dalam diri setiap rakyat Malaysia.


(AHMAD ZAIRUN BIN SULAIMAN)
Pengarah
Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial
Universiti Malaya

Comments

Popular posts from this blog

Refleksi individu (Izzah)

Refleksi individu (Fitrah)

Refleksi individu (Siti Husna)