Refleksi individu (Farahiennaz)

Pada 27 dan 28 April 2019, telah berlangsungnya program Jalinan
Kemasyarakatan bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sepang, Selangor
oleh pelajar pelajar Tahun Pertama, Jabatan Pentadbiran Sosial dan Keadilan. Saya
sebagai biro unit Protokol dan Aturcara, bersyukur ke hadrat Ilahi setiap aktiviti dan
program telahpun berjalan dengan lancar dan dapat dikawal oleh setiap seorang
daripada kami semua.

Apa yang saya dapat rumuskan adalah sebelum, semasa dan selepas program
Jalinan Masyarakat ini berlangsung. Seminggu sebelum program kami berlangsung,
kami sebulat suara dan berpakat untuk mengadakan perkampungan, dan mesyuarat
untuk setiap unit, yang terdiri daripada majlis tertinggi, unit protokol dan aturcara,
unit kebajikan, unit tajaan, unit logistik dan teknikal, serta unit multimedia dan
teknologi. Saya melihat kesepakatan dalam setiap perbincangan dan penyelesaian
masalah bagi setiap unit pada segala mesyuarat dan perkampungan. Sikap toleransi
dan saling membantu setiap unit membuat kami semakin rapat sebagai satu pasukan.

Semasa perkampungan, unit saya dibantu oleh semua unit bekerjasama membalut
hamper. Jumaat 26 April, hari yang agak memenatkan buat kami, perkampungan
terakhir. Saya dan Aldo yang telah ditugaskan untuk slot ‘Zumba’ telah mengambil
masa lapang kami dan kesemua unit untuk berlatih seawal jam 10 pagi, dan diakhiri
dengan penutup perkampungan yang tamat pada pukul 12 tengah malam, dan sedikit
briefing untuk keesokan hari oleh Pengarah Progam kami, Ahmad Zairun.
Pada Sabtu 27 April 2019, kami bergerak seawal jam 6 pagi, kami begitu teruja
untuk menjalankan aktiviti kami. Saya merasakan kami telah menghadapi sedikit
masalah iaitu kami telah bertolak dan tiba sedikit lewat akibat sesat. Setibanya di
Sepang, kami disambut oleh pihak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan
sukarelawan seramai 40 orang.

Setiap dari kami dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk (homehelps)
membantu membersihkan rumah warga emas yang kurang bernasib baik, aktiviti ini
membuka mata saya, betapa beruntungnya kita hidup dalam kesenangan tetapi tiada
yang pedulikan mereka yang susah. Sesi mengemas rumah golongan kurang bernasib
baik ini telah menyedarkan saya untuk sentiasa bersyukur dan pemberian serta
pertolongan walaupun sedikit tetapi dimata mereka amatlah besar, ada yang
menitiskan air mata sewaktu kedatangan pihak kami. Saya merasa sedih melihat
keadaan mereka dan pertanyaan yang selalu bermain difikiran adalah, “jika tiada
pihak sukarelawan seperti ini, siapakah yang akan membantu mereka, adakah pihak
berkuasa melakukan kerja mereka? Rumah yang telah dikemas oleh sukarelawan
setahun lepas dan kedatangan kami pada hari ini melihat rumah itu seperti tidak
berusik, tiada perubahan dan tiada tindakan diambil.”.

Saya berasa marah juga kesal dengan pihak yang sepatutnya mengambil tahu akan golongan seperti ini. Mereka kurang berupaya, hanya mengharapkan belas ihsan
dari masyarakat. Aktiviti homehelp berakhir pada tengahari. Pada sebelah petang,
kami meneruskan aktiviti melawat rumah orang asli dan memberikan sumbangan.
Kelihatan begitu daif hidup mereka tapi penuh dengan kreativiti. Kelihatan kraf
diperbuat daripada bekas tayar yang tidak digunakan, botol air, dan plastik. Saya
begitu tertarik melihat setiap laman mereka dihias sebegitu walaupun dalam ruang
rumah sangat daif, ada yang tiada perabot hanya duduk dilantai.

Sebelah malam pula, kami mengadakan aktiviti BBQ makan bersama para
sukarelawan dan warga emas yang hadir dan juga malam kebudayaan. Keceriaan jelas
terpapar di wajah mereka, para sukarelawan dan tetamu kehormat. Slot yang kami
adakan pada malam kebudayaan tersebut adalah slot pentonim, puisi, lakon semula
dan joget lambak. Slot aktiviti kami berakhir dengan sesi karaoke. Saya telah dilantik
menjadi MC informal pada malam tersebut ditemani dengan rakan dari biro saya juga
iatu Suhailly. Saya tidak pernah menjadi MC dimana mana majlis, dan Jalinan
Masyarakat ini telah memberi peluang dan ruang untuk saya menjadi pengacara
majlis dan merasai pengalaman itu sendiri, amat menyeronokkan malah mendebarkan,
dan malam kebudayaan kami berakhir dengan lancar.

Pada keesokkan harinya, iaitu hari terakhir bagi program kami, 28 April 2019,
terdapat masalah di pagi yang hening itu. Seawal jam 7 pagi kami bergerak untuk ke
lokasi kami membuat majlis penutup iaitu di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE),
saya berasa sedikit kesal terhadap sukarelawan yang menumpangkan kami kerana
mereka seolah tidak tahu dimana PAWE itu berada dan melengahkan masa perjalanan
kami. Setibanya kami disitu, agak sedikit lewat kerana sesat, tetapi kami hadapinya
dengan positif. Kami meneruskan plan asal, membuka pendaftaran dan memotong
masa ZUMBA yang sepatutnya berlangsung selama satu jam, yang dikendalikan oleh
Aldo dan saya.

Aktiviti dan slot seterusnya yang telah di atur oleh unit saya berjaya menarik
perhatian warga emas yang hadir. Slot aktiviti bersama mereka tiada masalah. Saya
melihat kegembiraan dan keceriaan di setiap warga emas yang datang, saya
merasakan bahawa aktiviti kami berjaya menghiburkan hati golongan warga emas
tersebut. Slot yang telah pun dipilih berdasarkan idea-idea oleh rakan-rakan
seperjuangan saya dalam unit protokol dan aturcara adalah Musang Berjanggut, Gegar
Lidi, Untaian Kasih dan Nenekku Rupawan.

Warga emas yang hadir sangat terbuka untuk menyertai setiap aktiviti. Mereka
sangat bersemangat dengan plan dan strategi untuk menang kerana hadiah yang
ditawarkan berupa hamper. Selepas aktiviti tersebut, kami mengadakan forum
bersama tetamu jemputan kami, Faradatul, Juara Qariah Peringkat Antarabangsa dan
kehadiran tetamu kehormat iaitu YB Tuan Haji Borhan. Majlis kami dengan rasminya
diakhiri dengan jamuan lain daripada yang lain iaitu Nasi Ambang dimana kami
makan didalam satu dulang dan pulang ke homestay.

Pengalaman menjayakan program seperti ini tidak akan saya lupakan kerana
ianya memberi banyak pengetahuan tentang pengendalian tugasan, skop dan gerak
kerja unit masing masing, bantu membantu sesama ahli, bersifat terbuka, toleransi dan
berani dalam menyuarakan pendapat. Program Jalinan Masyarakat ini juga memberi
kesedaran kepada saya bahawa, warga emas memerlukan kasih sayang sesama kita, di
hari terakhir kami pulang dan mereka berkata bakal merindui kami.

Kesimpulannya, Program Jalinan Masyarakat ini banyak memberikan kesan
positif terhadap diri saya dari pelbagai aspek, mental, fizikal, emosi dan perasaan
jiwa. Nilai nilai kesedaran dan bersyukur dengan segala yang ada, simpati dan empati
telahpun menebal dalam diri saya dan saya rasakan itu. Terima kasih untuk kursus ini,
tanpa Jalinan Masyarakat saya dan kami semua tidak berkesempatan untuk merasakan
pengalaman indah ini.


(NUR FARAHIENNAZ BINTI NAZMAN)
Unit Aturcara dan Protokol
Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial
Universiti Malaya

Comments

Popular posts from this blog

Refleksi individu (Izzah)

Refleksi individu (Fitrah)

Refleksi individu (Siti Husna)