Refleksi individu (Syafiqah)

Refleksi

Pada 27 April yang lalu, telah berlangsungnya program Jalinan Masyarakat oleh
Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial sesi 18/19 atau dikenali sebagai Integrasi Generasi
(Integen) 2019. Program ini telah dijalankan di Sungai Pelek dalam sebuah kawasan yang
menggabungkan tiga buah kampung iaitu Kampung Ulu Chuchoh, Kampung Ulu Teris dan
Kampung Bangkong. Kami telah bermalam di sebuah chalet yang bernama Chalet Banghuris
di Kampung Ulu Chuchoh.

Program kami dimulakan aktiviti pertama kami iaitu Home Helps di setiap kampung
yang dinyatakan di atas. Tiga kumpulan dibahagikan yang dimana pelajar Universiti Malaya
berganding bahu dengan Sukarelawan daripada pihak Usiamas. Aktiviti ini dilaksanakan
dengan membantu warga emas yang kurang bernasib baik dalam mengemas,
membersihkan kawasan rumah mereka dan memberikan serba sedikit buah tangan. Setiap
kumpulan yang diagihkan melakukan aktiviti ini dengan baik dan lancar. Tiada komplikasi
yang dapat dilihat dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Nilai dan pengajaran yang
didapati daripada aktiviti ini ialah kita sebagai generasi muda di negara ini, seharusnya
saling bantu-membantu antara satu sama lain terutamanya generasi tua yang telah banyak
berkorban dan memerah keringat dalam memajukan negara ini.

Setelah aktiviti Home Helps tamat sehingga pukul 1 petang, pelajar dan sukarelawan
pulang untuk rehat dan solat. Kemudian, aktiviti diteruskan dengan slot ziarah-menziarahi
warga emas yang ada di sekitar kampung tersebut. Slot ini dibekali dengan beberapa buah
tangan seperti ‘hamper’ makanan dan beras sebagai bekalan makanan warga emas ini
semua bagi menghadapi bulan puasa kelak. Pelbagai pengalaman dan ilmu baru telah
diperoleh daripada slot ini. Warga emas yang diziarahi menceritakan tentang kisah mereka
terdahulu dan berkongsikan petua dan nasihat kepada kami semua. Berbeza pengajaran dan
nilai telah didapati seperti sebagai generasi yang bakal mewarisi negara dan bangsa,
kita hendaklah berusaha bersungguh sungguh dalam memajukan diri sendiri dan pada masa
yang sama, menyumbang kepada negara sendiri dalam pelbagai bidang untuk masa depan
yang cerah.

Kemudian, aktiviti pada waktu malam iaitu Malam Kebudayaan juga telah
berlangsung dengan baik. Walaupun terdapat beberapa kekurangan seperti tempat untuk
‘BBQ’ tidak sesuai, namun aktiviti pada malam itu tetap berjalan seperti biasa kerana
semangat kerjasama yang terhasil di antara pelajar dan sukarelawan pada ketika itu.
Beberapa persembahan telah dipersembahkan seperti sketsa, joget lambak, pentonim dan
puisi oleh pelajar dan dibantu oleh sukarelawan. Setiap persembahan telah berjaya
menghiburkan setiap penonton yang terdiri daripada warga emas dan sukarelawan di situ.
Nilai yang dapat diperoleh daripada Malam kebudayaan ini adalah semangat berpasukan.
Sekiranya tiada semangat pasukan, setiap aktiviti yang dirancang pada malam itu tidak akan
dapat dijalankan.

Pada hari keesokannya, iaitu majlis penutup program kami. Majlis tersebut dimulai
dengan senaman pagi dan diiringi dengan beberapa permainan, forum, ucapan daripada
VIP, penyampaian hadiah dan sesi bergambar. Hasil daripada slot permainan tersebut,
hubungan antara warga emas, pelajar dan sukarelawan makin erat dan rapat. Mereka dapat
mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam dan dapat bertukar idea dan
fikiran antara satu sama lain. Seterusnya, forum yang dijalankan dapat menambah ilmu para
pendengar tentang kepentingan menghargai warga emas yang telah disampaikan oleh lima
panel. Secara pendeknya, majlis penutup berjalan dengan lancar dengan serba sedikit
kekurangan seperti kesilapan teknikal dan sikit perubahan dalam aktiviti yang telah
dirancang. Namun, sepanjang tempoh program ini, hubungan pelajar antara satu sama lain
makin erat dan besefahaman.

Saya sebagai antara ahli unit publisiti dan multimedia, merasakan bahawa setiap
tugas dan kerja telah diagihkan dengan baik dan lancar. Pada pendapat saya, setiap pelajar
dalam jabatan ini telah melakukan tugas mereka dengan baik dan amanah. Saya berharap
agar hubungan yang erat telah terjalin ini, akan berkekalan sehingga habis tempoh
pengajian dan juga di alam pekerjaan. Nilai dan pengajaran yang telah diperoleh akan kami
jadikan teladan dan ikutan untuk mengharungi kehidupan di luar dan juga sebagai panduan
dalam mengatur langkah hidup saya untuk masa depan yang cerah.


(NOOR SYAFIQAH HANINA BINTI MOHD DARUS)
Unit Multimedia
Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial
Universiti Malaya

Comments

Popular posts from this blog

Refleksi individu (Izzah)

Refleksi individu (Fitrah)

Refleksi individu (Siti Husna)